Wednesday 16 November 2011

Adakah Nabi Syuib a.s Bapa Mertua Kepada Nabi Musa a.s ?

Adakah Nabi Syuib a.s Bapa Mertua Kepada Nabi Musa a.s ?
Adalah satu kenyataan umum  bahawa  Nabi Musa a.s  adalah menantu Nabi Syuib a.s. Al Quran menceritakan selepas Nabi Musa a.s cuba meleraikan satu pergaduhan, secara tidak senaja beliau telah membunuh seorang bangsa Mesir. Kerana ketakutan dihukum oleh Firaun beliau telah melarikan diri ke Madyan.[1]
21. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim “.
22. dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,”.
23. dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “.
Al Qashash 21-23
25. kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”. maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: “Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu “.
26. salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.
27. bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; Dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. dan (ingatlah) Aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya”.
28. Musa menjawab: “Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); Yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan dan Allah jualah menjadi pengawas terhadap apa yang kita katakan itu”.
Al Qashash 23-28
Ayah kepada kedua wanita tersebut  tidak disebut identitinya oleh Allah. Bagaimanapun beliau telah disebut sebagai Nabi Syuib a.s.
Untuk membuka minda  kita perhatikan nasab keduanya. Ibn Katsir dalam Kisah Para Nabi menulis nasab keduanya seperti berikut;
Syuib bin Mikayel bin Yasyjon , pendapat ini mengikut ibnu Ishak. Ada pula mengatakan  Syuib bin Yasykhar bin Lawwi bin Yakob. Adapula yang mengatakan Syuib bin Nuwaib bin ‘Aifa bin Madyan bin Ibrahim. Ada pula yang mengatakan ibu atau datuk Nabi Syuib adalah anak perempuan nabi Lut. [2]
Musa bin Iram bin Qahats bin ‘Aazar bin Lawwi bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim a.s [3]. Ibn Katsir menyebut dari sumber Ahli Kitab , nabi Musa a.s meninggal dunia pada umur 120 tahun.
Dari nasab di atas zaman Syuib a.s adalah lebih dekat kepada Nabi Ibrahim berbanding nabi Musa a.s. Syuib a.s adalah keturunan ke 4 atau ke 5 selepas nabi Ibrahim al Khalil . Nabi Musa pula adakah keturunan ke 7 selepas nabi Ibrahim al Khalil. Sayangnya kita tidak mengetahu umur nabi Syuib a.s. Saya berkeyakinan atas sebab ini Maulana Abdullah Yusof Ali  di dalam Al Quran Karim , Terjemahan Dan Huraian Maksud, tidak bersetuju bapa kedua wanita persebut adalah nabi Syuib a.s. Beliau berpendapat :
Pendapat yang menyamakan baginda (Syuib a.s) dengan Jethro[4] , ayah mertua nabi Musa a.s , nampaknya tidak mempunyai bukti, dan saya tidak menerimanya …….. jika Syuib adalah keturunan ke empat selepas Ibrahim bermakna Syuib berada pada zaman satu abad selepas nabi Ibrahim  ……  Bible pula memberitahu Mus a.s berada pada abad ke 4 atau ke 6 selepas Nabi Ibrahim.[5]
Kisah nabi Nuh, Hud, Lut,  dan Syuib a.s  nampaknya tersusun dengan tertib dari susunan masanya ……  kalaulah nabi Syuib berada pada keturunan ke 4 selepas Ibrahim  maka mustahil pula baginda  menjadi se zaman nabi Musa yang datang beberapa abad yang banyak kemudiannya. Kesulitan ini diakui oleh Ibn Katsir dan lain-lain ahli tafsir klasik.[6]
Lantaran pendapat Maulana Abdullah Yusof Ali tersebut saya mengutip tulisan Ibn Katsir pada mebicarakan tentang Nabi Musa dan bapa mertuanya[7]:

Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai siapakah sebenarnya orang tua (bapa  kepada 2 wanita) yang dimaksudkan itu? Sebahagian ahli tafsir berpcndapat bahawa beliau adalan Nabi Syuib a.s .. Pendapat ini yang paling masyhur dan dapat ditcrima. Hasan al-Basri dan Malik bin Anas termasuk di dalamnya. Sebahagian ulama yang lain menjelaskan bahawa Syuib a.s. terus hidup lebih lama lagi setelah kehancuran kaumnya. Semasa hidupnya beliau bertcmu dengan masa kehidupan Musa a.s. dan beliau menikahkan  puterinya dengan Musa a.s.


Ibnu Abu Hatim dan periwayat lain menyatakan keterangan yang diterima dari Hasan al-Basri bahawa teman (orangtua / bapa kepada 2 wanita tersebut) itu adalah Syuib. Beliau inilah yang memiliki sumber ayer itu tetapi beliau bukan seorang nabi yang diutus kepada penduduk Madyan. Adapun yang lain pula menyatakan bahawa beliau adalah anak lelaki  daripada saudaranya (Nabi Syuib a.s). Adapun yang lain berkata bahawa beliau adalah seorang mukmin dari kaum Syuib.


Ada lagi yang berkata bahawa beliau bernama Yathran. Seorang kahin di Madyan, iaitu orang yang paling pintar di negeri itu. Demikian menurut keterangan Ahli Kitab dalam catatan kitab mercka. lbnu Abbas dan Abu Ubaidah bin Abdullah mengatakan bahawa nama orang tua itu ,ialah Yathran. Abu Ubaidah menambah bahawa dia adalah anak saudara nabi Syuib a.s . Ibnu Abbas menambah bahawa dia adalah penduduk jati Madyan.

Demikian pendapat ulama mengenai siapa sebenarnya bapa mertua nabi Musa a.s. Sesungguhnya Allah yang maha mengetahuinya.


[1] Terletak di selatan Syam. Dekat  Telok Aqabah dan ke Timur Semenanjung Sinai. Madyan adalah tanah orang Arab. Negeri kaum Luth dekat dengan negeri Madyan. Madyan adalah nama bagi anak nabi Ibrahim al Khalil.
[2] Kisah Para Nabi – Darul Fajr m.s 285
[3] Kisah Para nabi – Darul Fajr m.s  397
[4] Nabi Syuaib juga disebut Jethro berdasarkan versi Injil Kristian.
[5] Al Quran Karim , Terjemahan Dan Hurain Maksud – Dewan Bahasa Dan Pustaka m.s 689. Tafsir surah al A’raf 85
[6] Al Quran Karim , Terjemahan Dan Hurain Maksud – Dewan Bahasa Dan Pustaka m.s 696. Tafsir surah al A’raf 93
[7] Kisah Para Nabi – Darul Fajr m.s 414-415

No comments:

Post a Comment