Monday 21 November 2011

Lynas: Kenyataan MB sekadar tutup kelemahan

Khairil Abdul Rahim   
KUANTAN, 21 Nov: PAS Pahang menganggap kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa kerajaan meluluskan projek pembinaan loji nadir bumi Lynas kerana tidak membahayakan nyawa orang ramai, hanyalah untuk menutup kelemahan setelah mendapat bantahan penduduk.

Kata Ketua Penerangannya, Suhaimi Saad, bahkan Adnan cuba menutup isu sebenarnya iaitu tempat buangan sisa pemprosesan berkenaan yang menjadi keresahan penduduk kerana kesannya amat berbahaya.

“Apa yang menjadi kebimbangan penduduk ialah kesan sisa buangan daripada kilang berkenaan kerana setakat ini pihak Lynas masih gagal mengemukakan pelan pengurusan sisa buangan dan yang penduduk tahu sisa tersebut akan ditanam di Gebeng.

“Bayangkan dalam tempoh 20 tahun ribuan tan sisa akan terhasil dan sisa buangan inilah yang membawa bencana kepada penduduk di Bukit Merah, Perak.  Tetapi isu ini tidak dijawap.

“Pada 1986, Menteri Besar Perak kata kilang proses nadir bumi selamat, Menteri Alam Sekitar pun kata selamat. Tetapi apabila berlaku bencana akibat sisa buangan itu, akhirnya penduduk yang mendapat musibah dan kerajaan kena keluar belanja berjuta ringgit menguruskan sisa buangan,” katanya sebagai respons kepada kenyataan Adnan di akhbar hari ini.

Adnan ketika berucap dalam satu majlis di sini berkata sebagai Menteri Besar, beliau terlebih dahulu meneliti dokumen laporan mengenai pembinaan kilang itu sebelum ia diluluskan dan kerajaan tidak akan membahayakankan nyawa orang ramai kerana loji itu dibina bagi tujuan pemprosesan sahaja.

Soal Suhaimi, kenapa diberitahu tentang pemprosesan sahaja tetapi tidak diberitahu kemana sisa prosesan itu dilambakkan.

“Menurut kenyataan CEO Lynas sendiri, kerajaan Malaysia yang akan menguruskan sisa prosesan. Maknanya Lynas akan berlepas tangan, tapi kerajaan pula tidak pernah dedahkan pelan pelupusan sisa nadir bumi itu.

“Akhirnya rakyat juga yang akan menanggung bencana. Jika sisa pemprosesan kilang tersebut dibawa balik ke Australia, rakyat tidak akan membantah,” tambah Suhaimi.

Kata Suhaimi, pada hakikatnya pihak Kerajaan Pahang dan menteri besar sendiri sentiasa mengelak apabila persatuan penduduk cuba untuk bertemu dan berunding berkaitan Lynas.

“Masa saya bersama Badan Bertindak Anti Rare Earth (Badar) menghantar memorandum ke pejabatnya dulu, MB melarikan diri dan arahkan kakitangannya dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tak terima memorandum.

“Begitu juga dengan dialog yang sepatutnya diadakan 8 siri, hanya dibuat dua kali sahaja apabila tidak tahan dengan rakyat yang menyoal. Ini membuktikan kerajaan seolah-olah menyembunyikan sesuatu,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang didakwa Adnan (dalam berita berkenaan) telah memperbesarkan isu Lynas untuk tujuan politik, berkata Adnan membuat kenyataan begitu untuk mewajarkan pendiriannya sendiri.

“Jika dia (Adnan) tuduh saya sengaja mempolitikkan isu Lynas walhal ia (Lynas) tidak bahaya, saya sebagai pemimpin yang dipilih rakyat sedia untuk berdialog dengan sesiapa saja mengenai isu itu.

“Bagi saya kenyataan beliau bahawa agensi kerajaan negeri sedia membeli rumah di Gebeng jika penduduk di kawasan itu ingin menjual rumah mereka disebabkan pembinaan kilang Lynas, itu kenyataan yang ego dan tidak betanggungjawab.

“Bila dia bercakap masih ramai yang memerlukan rumah (untuk tinggal di Gebeng), seolah-olah nyawa orang miskin tiada nilai manakala yang berkemampuan ada pilihan tinggal di tempat lain," katanya.

Kata Fuziah, sepatutnya Adnan yang membeli rumah dan duduk di situ bagi membuktikan projek itu tidak bahaya bukannya menjadikan orang lain mangsa.

No comments:

Post a Comment