Wednesday 16 November 2011

MB Johor Iktiraf Mat Indera Melalui Buku Pengukir Nama Johor

05 Sep

Bernama pada 13 Ogos 2009 melaporkan :
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman semasa melancarkan buku (BUKU ‘FATIMAH-GADIS DESA SRIKANDI BANGSA’ ) itu berkata usaha perlu digerakkan bagi menerbitkan lebih banyak buku bersifat memoir dan biografi mengenai tokoh-tokoh terdahulu di negeri ini.
“Ini penting kerana buku seperti ini boleh menjadi khazanah warisan sejarah yang tidak ternilai harganya kepada generasi muda untuk memantapkan lagi semangat cintakan negara.
“Penulisan buku biografi tokoh merupakan satu usaha yang murni dan pastinya dapat menjana kefahaman generasi muda mengenai erti sebuah kemerdekaan yang sebenarnya,” katanya.
Menurut Abdul Ghani, Johor telah melahirkan ramai tokoh terbilang yang memberikan sumbangan dari peringkat negeri hinggalah ke peringkat antarabangsa seperti Datuk Abdul Rahman Andak, Datuk Onn Jaafar, Tun Dr Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Sardon Zubir, Ibu Zain Sulaiman dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.
Biografi mereka dan ramai tokoh lain telah ditulis dan diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor dalam lima jilid iaitu Pejuang Terbilang Johor; Tokoh Ternama Johor; Pengukir Nama Johor; Johor Mengabadikan Namamu; dan Johor Mengenang Sumbangsihmu. ………


Berikut adalah tek penuh Ucapan MB Johor, di petik dari : http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=769&Itemid=66
UCAPAN Y.A.B. DATO’ HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN
MENTERI BESAR JOHOR
DI MAJLIS PELANCARAN BUKU ‘FATIMAH-GADIS DESA SRIKANDI BANGSA’
DI PERMATA BALLROOM, HOTEL PUTERI PACIFIC, JOHOR BAHRU
PADA HARI KHAMIS, 13 OGOS 2009 JAM 10.45 PAGI
1.    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T., di atas limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama pada pagi ini sempena satu majlis yang amat bermakna kepada negeri Johor.  Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan yang mendalam di atas penghormatan menyampaikan ucapan dan seterusnya melancarkan buku ‘Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa’, iaitu satu lagi catatan bersejarah negeri ini.
2.    Negeri Johor seperti yang kita saksikan dalam catatan sejarah telah melahirkan tokoh-tokoh yang cukup istimewa baik daripada kalangan dirajanya, tokoh-tokoh politik, pentadbir, cendekiawan dalam lapangan ekonomi, pendidikan, sosial, bahasa, persuratan, kesenian, kebudayaan dan lain-lain. Tokoh-tokoh ini telah berjuang dalam bidang masing-masing untuk meletakkan Johor dalam peta kemajuan agama, bangsa dan negara. Usaha merakamkan riwayat hidup dan perjuangan mereka sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan negara, wajar dilakukan lebih giat lagi.
3.    Sesungguhnya kewibawaan dan ketokohan para pejuang terbilang dari bumi Johor ini banyak pengaruhnya dalam kebangkitan semangat nasiolisme yang kental sehingga tercapainya kemerdekaan tanah air pada tanggal 31 Ogos 1957.
Para hadirin sekalian,
4.    Negeri Johor telah melahirkan ramai tokoh terbilang yang memberi sumbangan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya Dato’ Abdul Rahman Andak, Dato’ Onn Jaafar, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Sardon Jubir, Ibu Zain Sulaiman, Tan Sri Syed Jaffar Albar dan ramai lagi. Semua tokoh ini jumlahnya hampir 150 orang telah ditulis biografinya dan diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor dalam lima jilid iaitu; Pejuang Terbilang Johor, Tokoh Ternama Johor, Pengukir Nama Johor ( Lihat gambar kulit buku, didalamnya termasuk Mat Indra- Tambahan Aburedza) , Johor Mengabdikan Namamu, Johor Mengenang Sumbangsihmu dan sebuah buku lagi dalam proses penerbitan ialah Pengemudi Bahtera Merdeka Johor.
5.    Penulisan memoir dan biografi tokoh ini menjadi khazanah warisan sejarah yang tidak ternilai harganya kepada generasi muda untuk memantapkan lagi semangat cintakan negara. Generasi muda harus belajar daripada sejarah tentang asal-usul mereka mengenai kekuatan yang dimiliki dalam mencorakkan perjalanan hidup bangsa sehingga berada dalam keadaan seperti yang ada sekarang. Penulisan buku biografi tokoh merupakan satu usaha yang murni dan pastinya dapat menjana kefahaman generasi muda mengenai erti sebuah kemerdekaan yang sebenarnya.
Tuan puan para hadirin sekalian,
6.    Di negara kita, penulisan memoir dan biografi tokoh merupakan rakaman baru yang perlu dipupuk perkembangannya. Memoir dan biografi tokoh adalah catatan sebuah kehidupan individu dan kelompok manusia bersamanya. Penulisan seperti ini menjadi sebahagian daripada warisan ilmu pengetahuan yang berharga dan mampu dijadikan kebanggaan untuk pembinaan sesuatu bangsa serta rujukan generasi mendatang.
7.    Memoir atau buku biografi tokoh “Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa” tentu mempunyai keistimewaannya. Sehingga kini tidak banyak buku yang seumpama ini diterbitkan, khususnya buku tentang tokoh wanita Johor yang bergiat aktif dalam politik dan kemasyarakatan. Dalam ingatan saya buku tokoh wanita yang telah diterbitkan ialah; Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesatria Bangsa dan Tan Sri Fatimah: Potret Seorang Pemimpin.
8.    Oleh itu, buku “Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa” merupakan buku ke-3 tokoh politik wanita Johor. Satu penyelidikan sedang dijalankan untuk menerbitkan buku biografi Ibu Zain Sulaiman .
9.    Fatimah Gadis Desa memang tepat sekali frasa ini. Dato’ Fatimah dilahirkan 90 tahun dahulu di Parit Bakar Muar, dibesarkan dalam suasana kampung sebelum negara mencapai kemerdekaan. Tinggal di rumah kayu usang, beratap zink dan nipah, menggunakan air perigi dan parit, pelita minyak tanah dan berjalan kaki di atas jalan tanah menuju ke sekolah melayu parit bakar darat. Semasa kecilnya Fatimah atau ‘Not” nama timangannya adalah seorang yang rajin dan dipercayai oleh ibunya. Kerja rutin hariannya yang diberikan adalah mengisi air ke dalam tempayan di dapur rumah daripada perigi yang jauhnya 300 ela, mengumpul ranting-ranting kayu untuk dijadikan kayu api dan memasang pelita minyak apabila hari mulai senja.
Para hadirin sekalian,
10.    Ungkapan “Srikandi Bangsa” amat tepat sekali gelaran ini diberikan kepada Dato’ Fatimah. Mengikut kamus dewan ‘srikandi’ bermaksud “wanita yang berani dan mempunyai semangat nasional sejati.” Semangat ini diterjemahkan dalam kegiatan politiknya. Dato’ Fatimah menyertai politik pada awal tahun 1946 dengan menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan menjadi ahli UMNO apabila UMNO ditubuhkan di Istana Besar pada 11-12 Mei 1946.
11.    Mulai saat ini, tuah Dato’ Fatimah yang dirasakan oleh ibunya ketika masih dalam kandungan benar-benar berlaku dalam kehidupan Dato’ Fatimah. Kejayaannya dalam arena politik meningkat, daripada seorang ahli biasa UMNO pada tahun 1946, memegang pelbagai jawatan penting dalam UMNO mulai tahun 1948. Pada tahun 1959-1964 menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Plentong, kemudian pada tahun 1964 hingga 1978 sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat Dalam dan Semerah yang meletakkan Dato’ Fatimah menjadi wanita Johor pertama sebagai Ahli Dewan Rakyat.
12.    Gelaran srikandi bangsa dilonjakkan lagi apabila beliau memegang jawatan Naib Ketua Badan Perhubungan Umno Negeri Johor dan Ketua Kaum Ibu UMNO Johor selama 23 tahun (1960-1983), Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia (1973-1979) dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia (1979-1983).
13.    Buku “Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa” banyak keistimewaannya. Dato’ Fatimah seperti mana yang saya kenali mempunyai perwatakan yang unik dan istimewa selain pemikiran beliau mengenai kemajuan dan hak wanita. Sepanjang saya mengenalinya, beliau banyak memberi sumbangan ke arah kebaikan wanita, sama ada menerusi bidang politik mahupun pergerakan sosial. Kesempatan untuk mengangkat martabat wanita sering disuarakan melalui Persidangan Dewan Negeri, Dewan Rakyat dan melalui akhbar-akhbar. Antaranya adalah isu poligami, isu harta sepencarian, menyeru wanita supaya berdaya saing untuk merebut peluang ekonomi dan penubuhan askar wataniah wanita pertama.
14.    Dato’ Fatimah bukan sahaja dikenali sebagai ahli politik, malah beliau juga aktif dalam bidang sosial dan kebajikan. Antara penglibatan beliau dalam bidang ini adalah bergiat aktif dalam perkumpulan wanita (w.i) peringkat daerah, negeri dan sejak tahun 1983 hingga sekarang, menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Perkumpulan Wanita Semenanjung Malaysia.
Para hadirin sekalian,
15.    Berbalik kepada penerbitan buku yang bersifat memoir dan biografi, di negara  kita, ia masih kurang dibandingkan di negara-negara membangun yang lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan penerbitan buku di negara-negara maju. Satu usaha harus digerakkan, khususnya di negeri Johor untuk menerbitkan buku yang menjadi bahan bacaan, bahan rujukan dan kajian. Selama 20 tahun Yayasan Warisan Johor ditubuhkan, sebanyak 53 buah buku telah diterbitkan, terdiri daripada buku sejarah, budaya, politik, kesenian, biografi, novel dan puisi.
16.    Dalam masa dua tahun kebelakangan ini satu perkongsian bijak dan persefahaman telah diwujudkan antara Yayasan Warisan Johor dengan pihak penerbit MPH dalam menerbitkan buku-buku berkaitan dengan negeri Johor. Melalui persefahaman ini enam buah buku telah diterbitkan. Adalah menjadi satu cabaran kepada penulis-penulis Johor untuk menulis buku mengenai Johor yang meliputi pelbagai bidang.
17.    Kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor telah mengadakan Hadiah Sastera Darul Ta’zim setiap dua tahun sekali. Hadiah Sastera Darul Ta’zim yang diadakan pada 17 Julai 2009 yang lalu merupakan kali ketujuh. Hadiah Sastera Darul Ta’zim diwujudkan sebagai penghargaan kepada para penulis Johor kerana sumbangan yang telah diberikan dalam bidang pengembangan bahasa dan sastera serta untuk mendorong dan menjana iltizam serta kreativiti para penulis Johor untuk menghasilkan karya-karya besar dan bermutu.
18.    Sehubungan itu, saya menyarankan agar Yayasan Warisan Johor memperluaskan bidang penulisan yang boleh diberi penghargaan. Ini bertujuan untuk menggalakkan penulis Johor menulis mengenai ekonomi, politik, pendidikan, sosial, kebudayaan, kesenian, keagamaan negeri johor. kaedah seperti ini mungkin dapat menarik minat lebih ramai penulis untuk menulis buku. Mereka bukan sahaja akan mendapat royalti penjualan buku tetapi kerajaan Johor dapat memberi pengiktirafan kepada mereka kerana mengharumkan nama Johor melalui penerbitan buku.
19.    Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada penulis dan penyunting buku ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada penerbit MPH dan Yayasan Warisan Johor yang menerbitkan buku ini. Tahniah dan terima kasih kepada Dato’ Fatimah dan ahli keluarganya yang mengadakan majlis pelancaran buku ini. Semoga buku “Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa” dapat membuka minda dan contoh teladan kepada generasi muda khususnya kaum wanita.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
________________________________
Berikut penafian atau pertukaran pandangan oleh MB Johor melalui berita BERNAMA:
Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=612066
Mat Indera Bukan Pejuang Merdeka Sebaliknya Pengganas: Mb Johor
NUSAJAYA, 7 Sept (Bernama) — Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.
Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dengan pangkat sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
“Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.
“Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).
“Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Johor di sini Rabu.
Abdul Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, yang dengan yakin mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar.
Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku “Pengukir Nama Johor” pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera.
Abdul Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.
Beliau berkata kemuncak penglibatan Mat Indera yang kejam adalah peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Feb 1950 dan fakta yang diperoleh dari pelbagai sumber sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.
Mengenai buku “Pengukir Nama Johor”, Abdul Ghani berkata dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ), segala kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, merupakan data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri.
Katanya, penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment